Wednesday, May 11, 2011

NOSTALGIA INDAH DI BUMI PAKISTAN


PENGALAMAN SEWAKTU BERADA DIPAKISTAN

Tidak pernah terlintas dibenak fikiran untuk menjejakkan kaki ke bumi Pakistan apatah lagi menceburi bidang homeopati yang jarang diceburi ramai membuatkan saya terfikir sejenak apabila ditawarkan untuk belajar homeopati di sana. 

Saya menerima panggilan telefon daripada prof Dr Nik Omar sewaktu itu beliau   bersama tiga orang sukarelawan Homeopathy ( Doctor Without Barrier)ke Afghanistan membantu mangsa perang di sana dan beliau berkesempatan melawat di sekitar bandar Karachi dan meninjau beberapa kolej homeopathy di sana. 

Satu kemungkinan ianya sudah berlegar-legar dibenak fikirannya untuk menghantar seorang calon di kalangan keluarga terdekat mendalami  bidang homeopathy pada ketika itu. 

Kebetulan pula saya baru sahaja tamat pengajian sekolah menengah dan anak-anak beliau masih di alam persekolahan dan sudah semestinya saya menjadi sasaran utama dan beliau memilih Pakistan Central Homeopathy Medical College and Hospital (girl's college) sebagai satu kolej terpilih untuk saya menimba ilmu homeopathy sepenuh masa pada waktu itu. 

Namun saya masih buntu untuk membuat keputusan samada untuk menerima tawaran tersebut atau meneruskan pengajian saya di tanah air tercinta selepas tamat pengajian tertinggi saya di alam persekolahan.

Kami berbincang setelah beliau pulang dari Afghanistan dan beliau bersetuju untuk memberi biasiswa kepada saya atas dasar untuk mencari ramai pelapis homeopati dikalangan keluarga. 

Keyakinan yang diberi membuatkan saya yakin dan berani untuk menerima tawaran tersebut dengan hati yang terbuka dan semangat berkobar-kobar untuk  ke Karachi Pakistan mempelajari ilmu Homeopathy yang masih belum dikenali ramai. 

Sudah tersurat bidang Homeopathy adalah bidang ilmu yang harus saya terokai dan tempat yang saya menimba ilmu adalah di PCHMC Karachi Pakistan. 

Saya menerimanya dengan hati yang luhur berbaur perasaan sedih dan gembira, sedih kerana terpaksa meninggal kan keluarga dan tanah air tercinta dan gembira kerana pertama kali menjejakkan kaki di tempat orang sekurang-kurangnya saya dapat mempelajari adat resam agama mereka selain daripada  mendalami ilmu homeopati disana kebetulan pula kami dilahirkan di dalam keluarga homeopati yang menguatkan  lagi semangat saya untuk berjuang di dalam bidang homeopati sehingga kini.

Kami berlepas meninggalkan tanah air tercinta ke Karachi atas matlamat untuk menimba ilmu homeopati disana sepertimana yang telah kami bincangkan. 

Pertama kali menjejakkan kaki di lapangan terbang pun saya sudah dapat menggambarkan atau membayangi keadaan sebenar bandar Karachi dengan suasana hingar bingar bercelaru, bunyi hon kereta yang tidak bertepi di sana sini belum lagi sampai ke tempat yang dituju, ianya amat menguja saya. 

Pada hakikatnya saya telah pun sampai di bumi Karachi untuk meneruskan perjalanan dan perjuangan hidup sebagai seorang pelajar  yang menerokai bidang ilmu perubatan homeopati, alhamdulillah kami disambut baik oleh beberapa orang pelajar di sana di dalam menguruskan penempatan dan segala keperluan sewaktu berada di sana. 

Beberapa hari di sana saya" home sick" perkara biasa berlaku kepada pelajar baru untuk menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan serta pergaulan di sana. 

Bermula lah al-kesah perjalanan hidup saya sebagai seorang pelajar setelah berulang kali ditemani senior-senior untuk membiasakan laluan saya ke kolej, terkumat kamit mulut saya menghafal beberapa ayat dalam bahasa urdu kononnya untuk bersoal jawab dengan si Baba  yang licik di dalam bab-bab menaikkan harga tambang dan tidak kurang juga yang cuba untuk memperdaya wanita tambahan pula kita ni orang luar tetapi kami telah pun diajar ilmu-ilmu untuk memperdayakan mereka dan sentiasa bertawakkal. 

Terkontang kanting saya di dalam dewan kolej tersebut kerana tidak ada seorang pun pelajar melayu yang menceburi bidang homeopati pada waktu itu, saya melayan atau membiarkan saja telinga saya mendengar apa yang diajar oleh doktor-doktor dengan menggunakan bahasa ibunda mereka iaitu 90% penggunaan bahasa urdu yang dicampur adukkan dengan peratus selebihnya dalam bahasa Inggeris.

Pertama kali mendengar bahasa urdu terpinga-pinga saya dibuatnya, bahasanya seakan sama dengan cerita-cerita hindustan yang kita tontoni tetapi sedikit berbeza dari segi nahu atau intonasi sebutannya. 

Namun setelah beberapa kali ke kelas alhamdulillah saya telah dapat membiasakan diri saya dengan keadaan sekeliling dengan berbekalkan sedikit ilmu bahasa urdu yang dipelajari dalam waktu yang singkat tidak sedikit pun mematahkan semangat saya untuk meneruskan perjuangan ini. 

Alhamdulillah saya dibantu oleh dua orang pensyarah yang saya kagumi iaitu Dr Razia yang mengajar kami Homeopathic  Philosophy dan Dr Yasmin yang mengajar kami Anatomi  ketika itu. 

Saya teramat kagum dengan kepetahan mereka mengajar di kelas dan proses pembelajaran menjadi senang kerana mereka banyak menggunakan bahasa Inggeris berbanding pensyarah-pensyarah lain yang memudahkan kami berbincang.

Saya teruja sebenarnya kerana berulang alik ke kolej seorang diri pada waktu itu, perjalanan memakan masa hampir setengah jam ke empat puluh lima minit daripada Society Office(tempat tinggal kami) ke Nazimabad tempat saya belajar dengan menaiki rickshaw kereta bertayar tiga seperti di Indonesia dengan bayaran tambang meter yang agak tinggi tambahan pula kita orang luar dan tidak tahu berbahasa urdu mencekik lah si Baba.

Tambang bas amat murah di sana tetapi saya terpaksa berhimpit-himpit seperti sardin almaklumlah size ukuran orang dia dua tiga kali ganda, dengan itu saya memilih rickshaw sebagai peneman saya ke nazimabad.

Setelah beberapa bulan di sana saya dikejutkan dengan berita-berita yang menguatkan lagi semangat saya untuk ke kolej, seorang demi seorang pelajar melayu menempatkan diri mereka di sana dan mereka lah menjadi peneman setia saya untuk sama-sama ke kolej. 

Saya teramat gembira pada waktu itu tetapi saya tidak boleh lari daripada hakikat kebenaran yang telah tersurat untuk saya berhadapan dengan cabaran-cabaran menguji minda saya untuk beralih bidang kononnya kerana ramai di antara kawan-kawan dan pelajar-pelajar tajaan di sana mempelajari ilmu perubatan moden allopati. 

Ada di antara mereka yang cuba melemahkan saya terhadap bidang homeopati yang saya ceburi dan tidak kurang juga ada  segelintir yang mengajak saya untuk menukar bidang daripada  homeopati kepada ilmu perubatan moden yang  membuak-buakkan semangat saya untuk memasuki pra perubatan di sana.

"Hasutan positif" sebenarnya yang membuatkan saya termakan pujuk dan cair dengan ajakan mereka kerana bukannya mudah untuk mendapatkan penempatan dan tawaran sebegitu kalau tidak  kerana kawan-kawan yang menolong, itu baru bab untuk memasuki pra perubatan belum lagi layak dipilih untuk meneruskan bidang perubatan dengan mengambil kira peratus pencapaian yang memuaskan dan yang selebihnya akan diagih-agihkan samada untuk memilih bidang farmasi atau veterinar membuatkan saya berfikir panjang seketika walau pun sangat teruja dengan bidang perubatan tersebut kerana rata-rata yang datang atas matlamat yang sama iaitu untuk mempelajari ilmu perubatan tersebut, terfikir juga kalau-kalau saya tidak dapat mengikuti atau meneruskan bidang tersebut. 

Tidak dapat dinafikan setiap pelajar yang datang ke Karachi dengan seribu   harapan yang tinggi menggunung dan mencapai satu matlamat yang sama untuk menceburi bidang allopati namun nasib jua yang menentukan mereka,  namun saya kuatkan semangat untuk tidak menghiraukan dan melupakan bujukan tersebut dengan meneruskan pembelajaran Homeopathy sepertimana yang telah kami bincang seawal dulu.

Keadaan politik yang tidak stabil menyebabkan ramai pelajar terpaksa menangguhkan pembelajaran mereka yang ditunda dari masa ke semasa dan keadaan ini juga berlaku di kolej tempat saya belajar terutamanya apabila berlaku rusuhan-rusuhan yang menakutkan. 

Apa tidak nya perkara ini betul-betul berlaku di hadapan mata saya  pada satu hari kami berangkat ke kolej dengan menaiki rickshaw untuk menghadiri peperiksaan tahunan, saya sudah mula menggelabah dan berdebar-debar di sertai dengan perasaan takut saya hanya terdiam tidak dapat berkata apa-apa pun membiarkan saja si Baba yang tenang membawa kami ke destinasi yang hendak dituju.  

Kami menyusuri jalan-jalan yang di penuhi dengan tayar-tayar yang dibakar  di sepanjang jalan menghala ke kolej menyebabkan keadaan sekeliling menjadi kelam kabut dan orang ramai lari bertempiaran saya sudah mula takut  kerana keadaan huru hara tersebut. 

Terkedu sekejap kecut perut saya dibuatnya terkumat kamit mulut membaca doa minta supaya semuanya selamat  rasa nak balik jam tu jugak yang herannya si Baba tadi meneruskan lagi perjalanan tanpa berkata apa-apa mungkin perkara sebegitu sudah lali dengannya sehinggalah ada seorang pakcik berketurunan Pakistan  yang baik hati menghalang kami daripada meneruskan perjalanan ke kolej kerana ada rusuhan berhampiran dengan kolej. 

Kami diarah supaya dihantar pulang ke tempat kami menginap kalau harapkan si pakcik baba tadi tak tahulah apa yang akan berlaku entah - entah terperangkap kami di sana.

Kami pulang dengan hati yang tenang tetapi tugas belum selesai kami berusaha banyak kali untuk mendapatkan maklumat terkini daripada kolej tetapi masih belum dapat dihubungi sehinggalah beberapa hari kemudiannya baru lah kami dapat menghubungi kolej mengenai apa yang telah berlaku, rupa-rupanya seorang pelajar perempuan ditembak mati berdekatan dengan kolej tempat saya belajar angkara peluru sesat perusuh-perusuh daripada pelajar-pelajar kolej sendiri. 

Sebenarnya kami sudah dapat meramalkan sebarang kemungkinan yang akan berlaku selepas setiap kali berlaku rusuhan bahkan ramalan kami selalunya menjadi, mereka memberitahu peperiksaan ditunda sehingga 2 minggu lagi.....hip hip horey! 

Berita menarik yang melekakan kami sebenarnya "sudah mengantuk disorongkan bantal" . Begitulah hakikatnya pengalaman hidup kami sebagai pelajar bunyi peluru pistol ibarat mainan mimpi sebelum tidur, keadaaan pencemaran sekeliling dengan ribut pasir setiap kali perubahan cuaca berlaku dengan cuaca yang tidak menentu membuatkan kami lali dan tetap mengharungi perjalanan tersebut. 

Ianya melatih kami banyak bersabar sepanjang kami berada di sana terutamanya pada musim panas kerana kami terpaksa menadah sebanyak mana air di atas  bumbung yang telah disediakan ibarat kolam air berada di atas bumbung untuk menyejukkan bilik pada musim panas dengan suhu yang tidak menentu sehingga mencapai 40 darjah celcius. 

Rumah yang kami diami berbeza dengan rumah-rumah lain keistimewaannya tuan rumah telah membina sebuah kolam di atas bumbung untuk menyejukkan  rumah pada musim panas. 

Dan  bila mana berlaku rusuhan kami mengikut saja arahan-arahan perintah berkurung yang telah ditetapkan. Alhamdulilah kami tidak diuji dengan kekurangan makanan walau sedikit pun apabila berlaku rusuhan,  kenaikan harga makanan tidak melampau berbekalkan duit RM200-250  pada waktu itu sudah memadai untuk menampung segala perbelanjaan kami di sana kerana kos saraan hidup di sana amat murah, makanan dan bahan mentah semuanya murah-murah dan mudah didapati. 

Kalau bercerita bab makan mungkin saya nak kena wujudkan satu helaian blog yang lain. Saya sangat teruja dengan masakan pelbagai jenis beriani yang sedap dan menyelerakan, tidak kurang juga kebab dan pelbagai makanan lain yang mengingatkan saya untuk ke sana lagi hanya sekadar untuk menikmati hidangan makanan yang lazat-lazat di sana.

Namun begitu terdapat juga segelintir pelajar yang pulang ke tanah air kerana tidak sanggup menghadapi keadaan huru hara  di sana dengan meneruskan pembelajaran mereka di tempat lain di dalam dan luar negara. 

Berat mata memandang namun berat lagi bahu memikul walau di dalam keadaan tertekan dengan keadaan politik yang tidak stabil, bom meletup di sana sini, berlaku juga pergaduhan dan perbalahan di antara kaum, pencemaran air dan udara persekitaran, keadaan cuaca yang tidak menentu namun kami telah dianugerahkan dengan semangat kental yang tidak pernah runtun iaitu satu kekuatan  dan keazaman yang telah dibina sejak azali  yang telah terpahat di dalam jiwa masing-masing telah berjaya melayakkan mereka membawa pulang segulung ijazah kedoktoran yang kini menempatkan mereka bertugas di beberapa buah hospital kerajaan dan swasta di Malaysia dan tidak kurang juga terdapat segelintir mereka yang telah berjaya menubuhkan klinik mereka sendiri.

Tidak dapat dinafikan lagi ramai di kalangan ibubapa yang berusaha untuk menghantar anak mereka ke sana kerana ia  merupakan sebuah gedung menimba ilmu yang tersohor terutamanya di dalam menerokai bidang ilmu perubatan dan ilmu syariah dirantau dengan kos yuran pembelajaran yang murah berbanding tempat lain di luar negara. 

Walaupun masih ada segelintir anak-anak muda yang menangguhkan pembelajaran mereka di sana  namun keadaan tersebut tidak berlarutan kerana kita terpaksa akur dan menghormati  perintah dan undang-undang negara yang telah ditetapkan oleh kerajaan Pakistan kepada semua pelajar-pelajar luar  yang berada di sana. 

Hujan emas di negeri orang hujan batu di negeri sendiri begitu indah ungkapan bahasa selama mana kita berada di negara orang tidak sama kesempurnaannya ditempat sendiri yang akhirnya mereka pulang ke tanah air tercinta untuk mencari makan di sini. 

Penceritaan saya berdasarkan 4 tahun pengalaman saya berada di Pakistan dan ianya mencecah hampir 24 tahun saya telah meninggalkan bumi tersebut dan merasakan sudah banyak perubahan berlaku di bumi Pakistan berbanding dulu. 

Rindu terpanggil untuk menikmati kelazatan dan keenakan pelbagai masakan beriani, kebab, tandori ala pakistan, keema, chicken karhai, pilao dan banyak lagi dan tidak lupa juga untuk menemui kawan-kawan, tenaga pengajar dan saudara mara satu rumpun di sana, insyallah murah rezeki, panjang umur kami berhajat untuk terbang ke sana dengan izin Allah, Wallahua'lam.

Alazain


No comments:

Post a Comment